MASA MENGEJAR KITA

Followers

Wednesday 28 December 2011

VIDEO P&P BAHASA MELAYU (TATABAHASA 3)
VIDEO P&P BAHASA MELAYU (TATABAHASA 2)
VIDEO P&P BAHASA MELAYU (TATABAHASA 1)

SAJAK HARI GURU

KOLEKSI CERITA KANAK-KANAK 8

BADANG
Pada zaman dahulu terdapat seorang hamba di Temasik. Temasik sekarang dikenali sebagai Singapura. Hamba itu bernama Badang. Tuannya bernama Orang Kaya Nira Sura. Badang diberikan tugas oleh tuannya untuk menebas hutan dan membersihkan semak-samun di sebuah bukit. Tempat itu hendak dijadikan kawasan bercucuk tanam.
Berhampiran tempat Badang menebas itu terdapat sebatang anak sungai. Di kaki bukit berhampiran sungai itulah Badang berehat selepas penat bekerja. Setelah selesai sembahyang, barulah Badang membuka bekalan. Badang makan nasi di dalam upih pinang yang dibawanya. Walaupun berlaukkan pucuk dicecah dengan sambal garam, nasi sebungkus itu habis dimakannya.
Selepas itu, Badang pergi ke anak sungai. Di situ, kelihatan anak-anak ikan bermain-main di dalam air yang jernih. Badang terfikir, "Daripada aku makan nasi dengan sambal, lebih baik aku cuba tangkap ikan itu. Boleh juga dibuat lauk. Kalau dapat banyak boleh aku bawa pulang kepada tuanku. Tentu tuan aku suka kalau dapat merasa ikan tebarau, terbuk, dan lain-lain." 
Sebelum Badang pulang, dia menebang buluh. Dia membuat lukah, iaitu sejenis perangkap untuk menangkap ikan. Dia menahan lukah itu di dalam sungai.

Keesokan harinya, pagi-pagi lagi Badang turun pergi menebas. Sebelum mula kerja menebas, Badang turun ke sungai untuk melihat lukah yang ditahannya. Namun, Badang terperanjat apabila melihat terdapat timbunan tulang ikan di tebing sungai berhampiran lukahnya. Badang dengan segera pergi mengangkat lukahnya. Dia mendapati lukahnya telah diusik orang. Di dalamnya tidak ada ikan, kecuali tinggalan sisik-sisik ikan. Dia berasa hairan. Badang menahan lagi lukahnya di tempat yang sama. Kemudiannya, dia pergi menyiapkan kerja.
Seperti biasa apabila hari petang, Badang balik ke rumah tuannya. Dia tidak pergi melihat lukahnya pada waktu petang kerana lukah akan mengena pada waktu malam.
Esoknya pula, Badang pergi menebas seperti biasa. Setelah sampai di tempat itu, Badang terus pergi ke anak sungai untuk melihat lukahnya. Sekali lagi, dia terperanjat kerana timbunan tulang ikan di tepi sungai itu bertambah banyak. Badang terus pergi mengangkat lukahnya. Dia mendapati lukahnya itu tiada ikan, kecuali sisik ikan sahaja yang tinggal. Badang bertambah hairan.
"Siapakah yang makan ikan mentah?" dia bertanya dalam hatinya.
Akhirnya, Badang mengambil keputusan ingin mengintai siapakah yang mencuri ikan di dalam lukahnya itu. Dia menahan semula lukah itu. Kemudian, dia pergi menebas seperti biasa. Apabila hari sudah senja, Badang tidak balik. Dia terus pergi bersembunyi untuk mengintai siapakah yang mencuri ikan di dalam lukah itu. Dia menyorok di sebalik semak. Apabila larut malam, datanglah satu lembaga. Matanya merah, bertaring panjang, berjanggut, dan berambut panjang. Muka lembaga itu sangat hodoh. Kukunya panjang. Lembaga itu mengangkat lukah lalu mengambil ikan-ikan di dalamnya. "Wah, hantu rupa-rupanya!" kata Badang di dalam hati. "Aku tidak takut kepada hantu itu!" ujar Badang lagi di dalam hatinya. Badang lalu memberanikan dirinya, walaupun berasa seram. Dia segera menerkam dan menangkap janggut lembaga itu. Berlakulah pergelutan. Namun, Badang tidak melepaskan lembaga itu. Akhirnya, lembaga itu mengaku kalah. Lembaga itu minta dilepaskan. Namun, Badang tidak melepaskan lembaga itu dengan begitu mudah. Lembaga itu merayu-rayu minta dilepaskan.
"Kalau tuan hamba melepaskan hamba, hamba akan berikan apa sahaja yang tuan hamba mahu," ujar lembaga itu. 
Badang terfikir, "Betulkah janji lembaga ini?" Badang mahu menguji, adakah kata-kata lembaga itu benar? Badang cuba memikirkan apa yang dia mahu minta. Kalau minta banyak harta, nanti harta itu akan menjadi milik tuannya. Kalau minta isteri cantik, mungkin akan diambil oleh tuannya juga. Tetapi kalau minta jadi gagah perkasa, tentu boleh menolong tuannya untuk membersihkan hutan itu. "Baiklah! Aku mahu jadi gagah perkasa," kata Badang. 
"Kalau tuan hamba mahu jadi gagah, tuan hamba hendaklah makan muntah hamba," kata lembaga itu. Badang termenung dan berfikir sejenak. "Baiklah! Aku setuju. Cepat! Biar aku jadi gagah," kata Badang. Lembaga itu muntah di atas daun keladi yang ada di situ. Tanpa berlengah lagi, Badang pun makanlah muntah lembaga itu hingga habis. Lembaga itu minta dirinya dilepaskan. 
"Belum boleh lagi! Tunggu dulu," Badang berkata sambil tangannya masih lagi memegang janggut lembaga itu. Dia mengheret lembaga itu ke arah sebatang pokok besar. Badang cuba mengangkat pokok itu dengan sebelah tangannya. Pokok itu tumbang. Badang berasa sangat gembira hajatnya termakbul. Badang mengucapkan terima kasih kepada lembaga itu. Lembaga yang muka hodoh dan bertaring tadi tiba-tiba bertukar wajah menjadi manusia yang berambut putih dan berjanggut putih.
"Aku bukanlah hantu sebagaimana yang kamu sangkakan. Aku datang untuk menolongmu. Kamu seorang yang cekal, tabah, dan jujur," kata lelaki tua itu. Kemudian dia ghaib daripada pandangan Badang. 
"Mungkin dia seorang alim!" fikir Badang.Badang bersyukur kepada Tuhan kerana memperoleh kekuatan yang luar biasa itu. Malam itu, Badang membersihkan semua hutan sebagaimana yang diarahkan oleh tuannya. Setelah selesai, dia pun pulang.
Pada keesokannya, dia tidak pergi menebas lagi. Tuannya memanggil dan bertanya mengapa dia tidak pergi menebas. Badang memberitahu bahawa dia telah membersihkan hutan dan semak-samun tersebut. Tuannya, Orang Kaya Nira Sura itu tidak percaya apa yang diceritakan oleh Badang. Dia pergi ke hutan untuk melihat sendiri keadaan tanahnya. Orang Kaya Nira Sura hairan kerana hutan dan semak-samun itu memang telah habis dibersihkan oleh Badang. Orang Kaya Nira Sura berasa gembira kerana hutan di tanahnya sudah dibersihkan. Namun, dia berasa bimbang, kalau-kalau Badang mengapa-apakannya pula. Orang Kaya Nira Sura lalu mempersembahkan Badang kepada Raja Temasik. Maka Badang pun dibebaskan daripada tuannya. Sekarang Badang tinggal di istana Raja Temasik sebagai budak suruhan. 
Pada suatu hari, Pemaisuri raja mengidam mahu makan buah mempelam. Permaisuri menyuruh Badang mengambil buah mempelam muda. Badang tidak lengah-lengah lagi. Dia terus memanjat pokok mempelam di hadapan istana raja itu. Disebabkan buah mempelam itu berada di hujung ranting, dia terpaksa menghulurkan tangan untuk mengambil buah mempelam itu. Tiba-tiba dahan tempat Badang berpijak itu patah. Dia terjatuh ke tanah. Kepalanya terhempas ke batu. Batu besar di bawah pokok mempelam itu terbelah dua. Namun, kepala Badang tidak cedera Permaisuri berasa hairan melihat kejadian itu. Permaisuri lalu pun memberitahu kejadian itu kepada raja. Raja datang menyaksikan sendiri. Baginda melihat batu besar di hadapan istana itu terbelah dua. Baginda sangat hairan akan peristiwa itu. Raja Temasik lalu mengangkat Badang sebagai pahlawan gagah perkasa. Kehebatan Badang tersebar di seluruh Temasik. Kemasyhuran itu turut tersebar ke Benua Keling. Maharaja Keling datang ke Temasik dengan membawa pahlawan yang kuat lagi perkasa dari negaranya. Pahlawan itu bergelar Pahlawan Gagah Perkasa. Pahlawan itu dibawa masuk untuk beradu kekuatan dengan Badang. Raja Temasik bersetuju pertandingan itu diadakan di hadapan pembesar-pembesar negara dan rakyat jelata. Maka tibalah hari yang ditetapkan. Hari pertandingan kekuatan di antara dua buah negara. Sementara menunggu masa dan ketika peraduan dimulakan, Pahlawan Gagah Perkasa dari Benua Keling itu duduk berhampiran dengan Badang. Dia lalu menindih paha Badang dengan pahanya secara bergurau. Namun, Badang boleh mengangkat paha pahlawan itu. "Wah, gagah sungguh Pahlawan Temasik ini!" ujar Pahlawan Gagah Perkasa itu dalam hatinya.
Tetuang dibunyikan menandakan pertandingan akan dimulakan. Pahlawan Gagah Perkasa dari Benua Keling itu mula mengangkat batu di hadapan majlis raja-raja dan pembesar negara masing-masing. Dengan rasa megah pahlawan itu dapat mengangkat batu itu setinggi paras lututnya. Dia lalu membawa batu itu ke hadapan raja dan diletakkannya di situ. Maharaja Keling dan para pembesar negara pun ketawa kerana gembira. Riuh rendah kedengaran. Akhirnya, sampailah masanya giliran Badang. Badang yang bertubuh kerdil berjalan masuk dengan lemah longlai menuju ke batu besar itu. Badang lalu mengangkat batu itu dan membalingnya ke Teluk Belanga. Pahlawan Gagah Perkasa Benua Keling berasa malu kerana tidak dapat menandingi kekuatan Badang yang sungguh gagah perkasa itu. Demikianlah kemasyhuran Badang sebagai seorang yang gagah perkasa pada zaman dahulu. Itulah sebabnya kemasyhurannya menjadi buah mulut yang dituturkan orang dari zaman ke zaman.

KOLEKSI CERITA KANAK-KANAK 7


KELDAI DAN SERIGALA
Pada suatu pagi,seekor keldai pergi meragut rumput di sebuah padang rumput yang luas.Ia meragut rumput dengan gembira kerana rumput di situ sunguh segar.Lagipun tiada haiwan lain di di situ,jadiia dapat meragut rumput dengan senang hati.
‘’Oh,beruntung sungguh aku hari ini!’’Setelah kenyang, keldai mamandang sekeliling,tiba-tiba ia ternampak seekor serigala yang kelaparansedang menuju ke arahnya….
“Apakah yang harus aku buat sekarang? Kalau aku lari,tentu serigala itu Berjaya mengejar aku,”rungut keldai yang ketakutan itu.Tiba-tiba keldai mendapat idea. Keldai memberanikan diri. Ia berpura-pura berjalan dengan selamba kea rah seringala.
“Apakah yang sedang berlaku?Mengapa kamu tidak lai sebaiksahaja ternampak aku?’’tanya serigala yang kehairanan.Tiada gunanya aku lari kerana kamu tetap akan buru dan menangkap aku.Akhirnya aku akan jadi makanan kamu juga.’’Kata keldai dengan berani.
‘’Betul juga cakap kamu.Kalau kamu terlepas hari ini,esok atau lusa kamu akan jadi mangsa aku juga,’’kata serigala.’’Tapi tiada seronok kalau aku dapat tangkap kamu dengan mudah.Kan lebih seronok kita main kejar-kejar.Kalau aku Berjaya tangkap kamu,aku akan memakan kamu…’’
‘’Baiklah,aku setuju dengan cadangan kamu,’’Kata keldai,’’tapi sebelum kita main kejar-kejar,aku mahu meminta pertolongan kamu.Boleh kah kamu tolong buangkan serpihan duri di dalam kuku kaki belakan aku.’’
‘’Ya,sudah tentu aku akan tolong kamu!’’Kata serigala.Keldai pun menghuluhkan kaki belakangnya ke arah serigala.Ketika serigala cuba memegang kakinya dan menunduk untuk mencabut duri tersebut,keldai pun menendang muka serigala dendang kuat.
‘’Aaaaaahhhhhhh!’’Jerit serigala dengan kuatnya.Disebabkan tendangan keldai itu amat kuat,serigala mengalami kecederaan yang teruk.Hidungnya berdarah dan beberapa batang giginya.Akhirnya ia berdiri dengan kesakitan yang amat sangat.’’Lain kali ku akan tangkap kamu dan makan kamu!’’jerit serigala dengan marah.

KOLEKSI CERITA KANAK-KANAK 6

LABAH-LABAH BUNCIT
Dalam sebuah belukar tinggal seekor labah-labah. Sarangnya lebih besar daripada sarang labah-labah lain. Dahulu bapanya yang membuat sarang itu. Kemudian ia menambah di sekeliling sarang itu.
Labah-labah itu berlari dengan pantas dari tengah ke tepi sarang. Ia menangkap mangsanya. Binatang yang ditangkap segera dimakan. Badannya semakin hari semakin besar. Perutnya buncit. Ia memang kuat makan. Perutnya sentiasa berasa lapar.
Pada suatu hari, datang dua ekor labah-labah. Satu dari arah timur dan satu lagi dari arah barat. Kedua-dua labah-labah mahu menjemput labah-labah buncit makan kenduri. Kenduri itu diadakan pada waktu yang sama. Ia menjadi serba salah. Labah-labah buncit bertanya jiran-jirannya. Mereka juga mendapat jemputan. Jiran di kiri pergi ke jemputan arah barat. Jiran di kanan pergi ke jemputan arah timur. Labah-labah buncit mendapat akal. Ia meminta kerjasama jiran-jirannya.
Labah-labah buncit memberi tali kepada jiran-jirannya. Sesiapa yang makan dahulu tarik tali itu. Ia akan pergi ke sana dahulu. Tali itu diikatkan pada perutnya supaya tidak terlepas.
Kedua-dua labah-labah itu pun pergi. Apabila jamuan dihidang, jiran kanan pun menarik tali dari arah timur. Pada masa yang sama jiran kiri menarik dari arah barat pula. Labah-labah buncit tidak dapat mengikut ke barat. Ia tidak sempat membuka ikatan perutnya.
Kedua-dua jiran labah-labah buncit terus menarik tali masing-masing. Perut labah-labah buncit semakin tercerut. Setelah tidak berjaya menarik, kedua-dua jirannya pun terhenti. Mereka menikmati hidangan. Selepas makan mereka pun pulang.
Mereka mendapati labah-labah buncit pengsan. Mereka cuba membuka tali yang tercerut di perut labah-labah buncit. Sayangnya mereka tidak dapat membuka ikatan itu.
Beberapa hari kemudian labah-labah buncit sedar. Ia berjaya membuka ikatan di perutnya. Sejak itu ia tidak hiraukan makan. Perutnya tidak berasa lapar seperti selalu. Pinggangnya pun ramping bekas kene cerut. Hingga sekarang pinggang labah-labah kecil dan genting.

KOLEKSI CERITA KANAK-KANAK 5



BURUNG BANGAU DAN SEEKOR KETAM
Pada zaman dahulu terdapat sebuah tasik yang sangat indah. Airnya sungguh jernih dan di dalamnya ditumbuhi oleh pokok-pokok teratai yang berbunga sepanjang masa. Suasana di sekitar tasik tersebut sungguh indah. Pokok-pokok yang tumbuh di sekitarnya hidup dengan subur. Banyak burung yang tinggal di kawasan sekitar tasik tersebut. Salah seekornya adalah burung bangau. Manakala di dalam tasik hidup bermacam-macam ikan dan haiwan lain. Ada ikan telapia sepat, kelah, keli, haruan dan bermacam-macam ikan lagi. Selain daripada ikan,terdapat juga ketam dan katak yang turut menghuni tasik tersebut. 
Burung bangau sangat suka tinggal di kawasan tasik tersebut kerana ia senang mencari makan. Ikan-ikan kecil di tasik tersebut sangat jinak dan mudah ditangkap. Setiap hari burung bangau sentiasa menunggu di tepi tasik untuk menangkap ikan yang datang berhampiran dengannya. 
Beberapa tahun kemudian burung bangau semakin tua. Ia tidak lagi sekuat dulu untuk menangkap ikan. Kadang- kadang ia tidak memperolehi ikan untuk dimakan menyebabkan ia berlapar seharian. Ia berfikir di dalam hatinya seraya berkata "Kalau beginilah keadaannya, aku akan mati kelaparan kerana tidak lagi berdaya untuk menangkap ikan. Aku mesti mencari jalan supaya aku dapat memperolehi makanan dengan mudah". 
Burung bangau mendapat idea dan berpura-pura duduk termenung dengan perasaan sedih di tebing tasik. Seekor katak yang kebetulan berada di situ ternampak bangau yang sangat murung dan sedih lalu bertanya "Kenapakah aku lihat akhir-akhir ini kamu asyik termenung dan bersedih sahaja wahai bangau?". Bangau menjawab " Aku sedang memikirkan keadaan nasib kita dan semua penghuni tasik ini." "Apa yang merunsingkan kamu, sedangkan kita hidup di sini sudah sekian lama tidak menghadapi sebarang masalah." Jawab katak. "Awak manalah tahu, aku sering terbang ke sana ke mari dan mendengar manusia sedang berbincang tentang bencana kemarau yang akan menimpa kawasan ini dalam beberapa bulan lagi. Kau lihat sajalah sejak akhir-akhir ini hari panas semacam aje, hujan pun sudah lama tidak turun". Bangau menyambung lagi "Aku khuatir tasik ini akan kering dan semua penghuni di tasik ini akan mati." Katak mengangguk- anggukkan kepalanya sebagai tanda bersetuju dengan hujah bangau tadi. Tanpa membuang masa katak terus melompat ke dalam tasik untuk memaklumkan kepada kawan-kawan yang lain. 
Berita bencana kemarau telah tersebar ke seluruh tasik begitu cepat dan semua penghuni tasik berkumpul ditebing sungai dimana bangau berada. Masing-masing riuh rendah menanyakan bangau akan berita tersebut. Seekor ikan haruan bertanya kepada bangau "Apakah cadangan engkau untuk membantu kami semua?" Burung bangau berkata "Aku ada satu cadangan, tetapi aku khuatir kamu semua tidak bersetuju." "Apakah cadangan tersebut" kata haruan seolah-olah tidak sabar lagi mendengarnya. Bangau berkata " Tidak jauh dari sini ada sebuah tasik yang besar dan airnya dalam, aku percaya tasik tersebut tidak akan kering walaupun berlaku kemarau yang panjang." "Bolehkah engkau membawa kami ke sana" sampuk ketam yang berada di situ. "Aku boleh membawa kamu seekor demi seekor kerana aku sudah tua dan tidak berdaya membawa kamu lebih daripada itu" kata burung bangau lagi.. Mereka pun bersetuju dengan cadangan burung bangau. 
Burung bangau mula mengangkut seekor demi seekor ikan daripada tasik tersebut, tetapi ikan- ikan tersebut tidak dipindahkan ke tasik yang dikatakannya.Malahan ia membawa ikan-ikan tersebut ke batu besar yang berhampiran dengan tasik dan dimakannya dengan lahap sekali kerana ia sudah tidak makan selama beberapa hari. Setelah ikan yang dibawanya dimakan habis, ia terbang lagi untuk mengangkut ikan yang lain. Begitulah perbuatannya sehingga sampai kepada giliran ketam. Oleh kerana ketam mempunyai sepit ia hanya bergantung pada leher burung bangau dengan menggunakan sepitnya. Apabila hampir sampai ke kawasan batu besar tersebut,ketam memandang ke bawah dan melihat tulang-tulang ikan bersepah di atas batu besar. Melihat keadaan tersebut ketam berasa cemas dan berfikir di dalam hatinya "Matilah aku kali ini dimakan oleh bangau." Lalu ia memikirkan sesuatu untuk menyelamatkan dirinya daripada ratahan bangau yang rakus. Setelah tiba di atas batu besar ketam masih lagi berpegang pada leher bangau sambil berkata "Dimanakah tasik yang engkau katakan itu dan kenapa engakau membawa aku di sini?" Bangau pun tergelak dengan terbahak-bahak lalu berkata "Kali ini telah tiba masanya engkau menjadi rezeki aku." Dengan perasaan marah ketam menyepit leher bangau dengan lebih kuat lagi menyebabkan bangau sukar untuk bernafas, sambil merayu minta di lepaskan, ia berjanji akan menghantar ketam kembali ke tasik tersebut. Ketam tidak mempedulikan rayuan bangau malah ia menyepit lebih kuat lagi sehingga leher bangau terputus dua dan bangau mati di situ jua. 
Dengan perasaan gembira kerana terselamat daripada menjadi makanan bangau ia bergerak perlahan-lahan menuju ke tasik sambil membawa kepala bangau. Apabila tiba di tasik, kawan-kawannya masih lagi setia menunggu giliran masing-masing. Setelah melihat ketam sudah kembali dengan membawa kepala bangau mereka kehairanan dan ketam menceritakan kisah yang berlaku. Semua binatang di tasik tersebut berasa gembira kerana mereka terselamat daripada menjadi makanan burung bangau yang tamak dan mementingkan diri sendiri. Mereka mengucapkan terima kasih kepada ketam kerana telah menyelamatkan mereka semua. 

Pengajaran : Kita tidak boleh bersikap tamak dan mementingkan diri sendiri . Kita hendaklah memikirkan perasaan orang lain . 

KOLEKSI CERITA KANAK-KANAK 4

CINDERELLA
Pada zaman dahulu ada seorang gadis yang sangat cantik. Ibunya telah meninggal dunia. Tidak berapa lama selepas kematian ibunya itu, ayahnya berkahwin dengan seorang janda yang mempunyai dua orang anak. Ibu tirinya itu sangat garang. Begitu juga dengan kedua orang kakak tirinya. Ayahnya pula selalu keluar bandar untuk berdagang.

Setiap hari dia diperintah oleh ibu tiri dan kedua orang kakak tirinya supaya membuat kerja rumah. Cinderella merasa amat sedih mengenangkan nasib yang melanda dirinya. Tiada tempat untuknya mengadu.
Wajahnya yang cantik itu menjadi comot kerana terlalu banyak membuat kerja dan tidak sempat hendak mengemaskan dirinya. Sedangkan kedua orang kakak tirinya itu hanya tahu bersolek, berpakaian cantik dan berjalan-jalan. Kerana pakaian dan wajahnya yang sentiasa comot itu, kedua orang kakaknya menggelar dia Cinderella.

Pada suatu hari putera raja telah membuat pengumuman akan mengadakan majlis tari-menari di istana. Semua gadis di dalam negeri itu dijemput menghadiri majlis tersebut. Kedua orang kakak tiri Cinderella yang hodoh itu mengambil keputusan hendak menyertai majlis itu.

Oleh kerana mereka tiada baju yang cantik, ibu tiri mereka mengarahkan Cinderella menjahit baju baru untuk kedua-dua orang kakak tirinya itu. Kedua-dua helai baju kakaknya itu dijahit oleh Cinderella. Setelah baju itu siap, kedua kakaknya saling bertekak mengatakan dia yang paling cantik.

“Aku akan memakai baju baldu berwarna merah dengan manik-manik yang cantik. Aku juga akan memakai rantai mutiara yang berwarna putih. Tentu aku kelihatan cantik.”

“Baju aku lebih cantik dari baju engkau!” kata kakak kirinya yang kedua. “Bajuku dipenuhi dengan labuci dan manik. Rantai leherku zamrud berwarna hijau. Sudah tentu aku lebih cantik daripada kau dan dapat menawan hati putera raja!”. “Kau tak akan dapat berkahwin dengan putera raja,” kata kakak tirinya itu sambil tertawa kepada Cinderella.

Cinderella merasa sedih mendengar kata-kata kakak tirinya itu. Kedua orang kakak tirinya itu tergesa-gesa pergi sambil terus sambil mentertawakan Cinderella. Setelah kedua orang kakak dan ibu tirinya pergi Cinderella duduk sendirian di dapur. Dia menangis mengenang nasibnya yang malang. Tiba-tiba dia terkejut kerana melihat sebutir cahaya berkelip-kelip tidak jauh darinya. Dari cahaya yang semakin membesar itu keluar seorang pari-pari yang cantik.

“Siapakah kau? Dari manakah kau datang?” tanya Cinderella sambil mengesat air matanya.

"Aku adalah pari-pari pengasuh kau,” jawab pari-pari yang cantik itu. “Sekarang beritahu aku adakah kau ingin pergi ke majlis putera raja di istana?”

“Ya, aku sangat ingin pergi ke majlis tu,” jawab Cinderella. Aku ingin bertemu dengan putera raja.”

“Aku boleh tunaikan permintaan kau itu,” jawab pari-pari itu lagi. Tapi ada syarat-syaratnya. Kau harus buat apa yang aku suruh.”

“Baiklah,” jawab Cinderella bersetuju.

“Mula-mula pergi ke kebun dan ambil buah labu yang palihg besar,” kata pari-pari itu. Cinderella terus berlari masuk ke dalam kebun lalu mengambil labu yang paling besar. Dia segera membawa labu itu masuk ke dalam taman. Pari-pari itu menyentuh labu itu dengan tongkat sakti. Tiba-tiba sesuatu yang ajaib pun berlaku. Labu itu menjadi kereta kuda yang cantik dan besar. Didalamnya terdapat kerusi baldu yang cantik, dihiasi langsir yang bewarna keemasan.

Cinderella memandang kereta kuda itu dengan rasa takjub dan kagum.

“Sekarang, bawakan aku enam ekor tikus,” kata pari-pari itu lagi. Cinderella segera masuk ke dapur. Dia mencari dibawah dapur dan dibelakang pintu. Tidak lama kemudian dia pun membawa enam ekor tikus di depan pari-pari itu. Tikus itu telah ditukarkan oleh pari-pari menjadi enam ekor kuda yang akan menarik kereta kuda itu.

“Kita telah memiliki kereta kuda untuk membawa kau ke istana. Sekarang aku perlukan seekor lagi tikus untuk menjadi pengiring dan pembantu kereta kuda.” Cinderella masuk ke dapur untuk mencari seekor lagi tikus. Setelah dia dapat menangkap tikus itu dengan segera diserahkannya tikus itu kepada pari-pari itu.

Kini kereta kuda itu telah lengkap dengan pemandunya yang berpakaian kemas dan cantik. “Sekarang kau boleh pergi ke majlis itu dan menemui putera raja!” kata pari-pari.

“Tapi bagaimana? Aku tidak boleh masuk ke dalam istana. Pakaianku buruk dan compang-camping. Tentu pengawal istana akan menghalau aku keluar.”

Pari-pari itu menyentuh Cinderella dengan tongkat saktinya. Serta-merta bajunya bertukar menjadi cantik. Rambut dan mukanya juga cantik berseri. “Dan inilah pemberian yang terakhir,” kata pari-pari itu lalu menyerahkan sepasang kasut emas yang cantik yang tidak pernah dibayangkan oleh Cinderella selama ini.

Cinderella merasa sangat gembira. Dia lalu memeluk pari-pari itu. Bila dia melangkah masuk ke dalam kereta kuda, pari-pari itu berpesan kepadanya. “Berjanjilah, kau akan pulang sebelum pukul dua belas tengah malam, anakku. Kerana di saat itu semuanya akan kembali kepada asalnya.”

Cinderella berjanji akan pulang sebelum dua belas tengah malam. Kereta itu dengan pantas berlari menuju ke istana. Apabila dia sampai didepan pintu istana, pengawal dengan hormat menyambut ketibaannya. Dia diiringi ke dewan istana. Di situ majlis tarian telah dimulakan. Semua orang yang berada di dewan itu memandang ke arahnya. Mereka sangat hairan melihat seorang gadis yang sangat cantik. Kedua orang kakak tirinya juga kehairanan.

Putera raja datang kepadanya lalu memimpin tangannya. Putera raja mengajaknya menari. Mereka menari sepanjang malam. Putera raja hanya mahu menari dengan Cinderella. Putera itu sangat tertarik dengan Cinderella. Tiada sesiapa di situ kenal padanya dan mereka semuanya merasa hairan dan kagum.

Raja dan permaisuri yang berada di atas singgahsana merasa kagum melihat kecantikan Cinderella. Cinderella pula hampir lupa pada dirinya dan janjinya pada pari-pari itu.

Cinderella terkejut bila menyedari setengah jam lagi menunjukkan pukul dua belas tengah malam. Dia mengucapkan selamat tinggal kepada putera raja dan meninggalkan istana. Sebaik sahaja dia sampai di rumah jam telah menunjukkan pukul dua belas tengah malam.

Setelah berehat dari kepenatan Cinderella mendapati kedua kakak tirinya pun pulang. Mereka asyik bercerita mengenai puteri yang sangat cantik yang tidak dikenali itu. “Putera raja telah jatuh hati kepadanya,” kata kakak tirinya yang tua. “Putera raja sanggup berbuat apa sahaja untuk mengetahui namanya dan di mana dia tinggal.”

Cinderella tersenyum mendengar kata-kata kedua orang kakak tirinya yang hodoh itu. “Adakah dia benar-benar kelihatan cantik?” tanya Cinderella. “Betapa beruntungnya kakak dapat melihat puteri itu.”

Cinderella tidak berkecil hati kerana dia akan pergi menemui putera itu pada malam esoknya. Pada keesokan harinya kedua orang kakak tirinya sibuk bersiap-siap hendak pergi ke istana. Pari-pari pengasuh Cinderella sampai sebaik sahaja kedua orang kakak tirinya itu pergi ke istana. Dia menggunakan tongkat saktinya lalu menukarkan pakaian Cinderella lebih cantik dari malam pertama.

Putera raja ternyata telah jatuh cinta pada Cinderella. Dia menunggu dan menyambut kedatangan Cinderella di depan pintu istana.

Cinderella hampir lupa pada dirinya kerana terlalu gembira. Dia tidak pernah merasa bahagia seperti itu sebelum ini. Masa berlalu dengan cepat tidak disedarinya waktu sudah pun dua belas tengah malam. Dia terkejut dan segera berlari pulang.

Cinderella takut pakaian cantik akan bertukar menjadi buruk dan kereta kudanya bertukar menjadi tikus kembali. Dia berlari keluar dan mendapati kereta kudanya telah bertukar. Cinderella berlari pulang dengan termengah-mengah.

Putera itu mengejar Cinderella dari belakang. Ketika menuruni tangga, kasut emas Cinderella telah tercabut. Tapi Cinderella tidak menyedarinya. Putera raja mengambil kasut itu. Bila kakak tirinya pulang ke rumah mereka sibuk bercerita. Putera jelita itu telah tertinggal kasut emasnya di istana dan ditemui oleh putera raja.

Pada awal pagi esoknya raja membuat pengumuman. Gadis yang mempunyai kaki yang sesuai dengan saiz kasut emas itu akan dijadikan isteri puteranya. Dia telah memerintahkan pengawalnya membawa kasut itu ke semua rumah di negeri itu untuk dicuba. Tapi tidak seorangpun yang dapat memakainya. Akhirnya pengawal istana itu tiba di rumah Cinderella.

Kedua-dua orang kakak tiri Cinderella sangat gembira hendak mencuba. Bila dia cuba memakai kasut itu dia menjadi marah. “Kenapa tidak muat?” kata kakak tirinya yang pertama. “Kaki aku kelihatan kecil sahaja!” rungutnya.

“Biar aku cuba,” kata kakak tirinya yang kedua. Bila kakak tirinya yang kedua memakainya, kasut itu jauh lebih besar hingga dia tidak boleh berjalan.

“Aku yakin kasut itu sesuai dengan aku tapi mengapa ia menjadi lebih besar dari kaki aku!”

“Adakah sesiapa lagi di dalam rumah ini yang hendak mencuba kasut ini?” tanya pengawal istana kepada kedua orang kakak tiri Cinderella. “Memang tidak ada sesiapa lagi,” jawab mereka.

Pengawal iatana itu terpandang Cinderella yang berada di situ. Hatinya berkata gadis itu cantik tapi pakaiannya compang-camping. Dia pun memanggil Cinderella untuk mencuba. Sebaik sahaja kasut itu tersarung dikakinya, ianya amat sesuai sekali membuat kedua orang kakak tirinya terkejut besar.

Disaat itu juga pari-pari muncul dihadapan mereka dengan tersenyum. Dia pun menyentuh Cinderella dengan tongkat saktinya lalu menukar pakaian Cinderella.

Kakak tiri Cinderella merasa marah dan cemburu. Pari-pari itu pun membawa dia ke kereta kuda yang sedia menanti.

Kereta kuda itu pun bergerak pergi menuju ke istana. Putera raja sangat gembira apabila akhirnya gadis kesayangannya ditemui. Keesokan harinya mereka pun berkahwin dan hidup aman damai.

Cinderella tidak pernah melupakan kedua orang kakak tirinya lalu mengajak mereka tinggal bersamanya di istana. Tidak berapa lama kemudian kedua orang kakak tirinya pun berkahwin dengan orang kaya. Mereka tidak lagi sombong dan hodoh. Lama-kelamaan mereka juga kelihatan cantik dan berbudi bahasa.

Pengajaran :

1. Buat baik dibalas baik.

2. Jangan mudah putus asa.

3. Keajaiban boleh berlaku kepada sesiapa sahaja

KOLEKSI CERITA KANAK-KANAK 3

PINOCHIO
Pada zaman dahulu terdapat seorang tukang kayu yang tua dan miskin bernama Geppetto.Dia amat suka membuat patung.Patung kesayangannya ialah Pinocchio.”Alangkah baiknya kalau aku mempunyai anak”kata Geppetto sambil melihat Pinocchio.

Pada malamnya, seorang pari-pari yang baik hati datang ke rumah Geppetto dan mengayunkan tongkat saktinya ke Pinocchio sambil berkata”Esok Pinocchio akan dapat bergerak dan bercakap seperti manusia biasa.”

Pada keesokan harinya, Geppetto mendapati bahawa Pinocchio boleh bergerak dan bercakap.Dia sangat hairan dan gembira melihat keadaan Pinocchio yang seperti manusia biasa.Geppetto terpaksa menjual baju dan sepasang kasutnya untuk membeli buku untuk Pinocchio belajar di sekolah.Dia memang ingin menyekolahkan Pinocchio. “Sekarang kamu bolehlah belajar seperti budak-budak lain belajar,”kata Geppetto kepada Pinocchio.Semasa berjalan ke sekolah, Pinochio berhenti untuk menyaksikan pertunjukan patung.”Mahukah kamu menyertai pertunjukan ini?”tanya ketua pertunjukan yang jahat .Tanpa berfikir apa-apa, Pinocchio bersetuju.


Ketua pertunjukan patung itu pun mengunci Pinocchio ke dalam 
sangkar yang kecil.Pinocchio berasa takut dan ingin pulang ke pangkuan Geppetto.Tanpa disangka, datanglah seorang pari pari yang baik hati membebaskan Pinocchio dari sangkar kecil itu.Pinocchio berasa sangat gembira.”Saya akan terus pergi ke sekolah dan tidak akan singgah ke mana-mana,”kata Pinocchio.


Semasa dalam perjalanan ke sekolah Pinocchio terserempak dengan seekor musang yang jahat.Dia menceritakan tentang sebuah pulau yang indah iaitu Pulau Ria.Pinocchio terlupa akan sekolahnya dan dia menukarkan bukunya dengan tiket ke Pulau Ria.”Kamu hendak pergi ke mana?”tanya pari-pari kepada Pinocchio.”Saya hendah ke sekolah,”Pinocchio berbohong.Tiba-tiba hidung Pinocchio menjadi panjang.Dia berasa menyesal kerana berbohong dengan pari-pari yang telah menyelamatkannya.

Pari-pari itu kasihan melihat Pinocchio .Dia meminta seekor burung untuk mematuk hidung Pinocchio supaya menjadi pendek.Pinocchio berjanji kepada pari-pari bahawa dia tidak akan berbohong lagi.Dia terus pergi ke sekolah.Di sekolah,Pinocchio mengajak kawannya ke Pulau Ria,Dia juga memberitahu tentang keadaan di sana seperti yang diberitahu oleh musang.Kawan Pinocchio bersetuju untuk ke pulau itu.Pinocchio dan kawannya segera ke kapal dan belayar ke Pulau Ria.Setelah tiba di pulau itu Pinocchio dan kawannya telah bertukar bentuk menjadi seekor keldai dan disuruh membuat kerja berat.


Pari- pari muncul lagi untuk membantu Pinocchio dan menukarnya ke rupa asal .Pinocchio segera meninggalkan pulau itu.Dia duduk di sisir pantai dan ingin bertemu dengan Geppetto.Tiba-tiba dia melihat kelibat Geppetto sedang mengayuh sampan.Semasa Geppetto sedang mengayuh sampan,seekor ikan paus muncul dari belakang dan terus menelan Geppetto bersama sampannya.Pinocchio berenang dengan sekuat-kuat hatinya untuk menyelamtkan Geppetto.Apabila Pinocchio hampir dengan ikan paus itu,ikan paus membuka mulutnya dengan luas.Pinocchio terus berenang dan masuk ke dalam mulut ikan paus itu.

Pinocchio berjumpa dengan Geppetto.Mereka berasa gembira kerana dapat bertemu lagi."Mari kita kumpulkan kayu api dan bakarnya,"kata Geppetto kepada Pinocchio.Asap api membuatkan ikan paus itu membuka mulutnya lalu Pinocchio dan Geppetto pun keluar dari situ.Pinocchio dan Geppetto berenang hingga ke persisiran pantai.Mereka amat letih lalu tertidur di situ.Apabila bangun,Geppetto mendapati bahawa Pinocchio telah berubah menjadi manusia.Dia sangat gembira kerana impiannya untuk memiliki anak sudah tercapai.

KOLEKSI CERITA KANAK-KANAK 2

TIKUS BANDAR DAN TIKUS DESA
Di satu desa,terdapat seekor tikus yang bernama Tikus Desa.Tikus Desa tinggal di rumah yang dikelilingi bunga-bungaan.Setiap pagi,Tikus Desa akan keluar mencari makanan di kawasan berhampiran rumahnya.Di kawasan berhampiran rumahnya mempunya banyak pokok raspberi.Tikus Desa suka makan pai raspberi yang dibuatnya pada waktu malam.Pada malamnya,Tikus Desa akan tidur di atas katil jerami.Tikus Desa sudah sebati dengan keadaan di desa.Pada suatu hari,Tikus Desa dikunjungi oleh saudaranya,Tikus Bandar.

Tikus Desa dan Tikus Bandar berasa sungguh gembira kerana dapat berjumpa.Pada paginya,Tikus Desa mengajak Tikus Bandar memetik buah.Tikus Bandar terjatuh dari pokok kerana dia tidak pandai memanjat pokok.Malam itu,Tikus Desa memasak pai respberi yang lazat untuk dimakan oleh dia dan sepupunya.Tikus Bandar tidak suka pai respberi yang dimasak oleh Tikus Desa kerana rasanya sungguh masam. Dia lebih menggemari makanan yang manis.

Malam itu,Tikus Bandar tidak nenyak tidur di atas katil jerami.Pada keesokkan harinya,Tikus Bandar mengadu kepada Tikus Desa bahawa dia tidak selesa tinggal di rumah Tikus Desa.Tikus Desa faham dengan apa yang dikatakan oleh Tikus Bandar kerana pada kali pertama tinggal di desa pun dia rasa tidak selesa tapi lama-kelamaan dia rasa seperti sudah biasa dengan cara seperti itu.