MASA MENGEJAR KITA

Followers

Tuesday 27 December 2011

SET 6 (PENULISAN TAHUN 4)


Bahagian B
(Masa dicadangkan : 40 minit)
(30 markah)

Pilih satu daripada tajuk-tajuk di bawah dan tulis sebuah karangan yang panjangnya tidak kurang daripada 80 patah perkataan.

1    Anda tidak dapat menghadiri latihan bola baling di sekolah anda.                                                                   Tuliskan sepucuk surat kepada guru yang menjadi jurulatih bola baling di sekolah anda.


atau

2    Anda telah diminta berceramah tentang langkah-langkah mengatasi masalah remaja lari dari rumah.
      Tuliskan ceramah itu selengkapnya.

atau

3    Terangkan punca-punca yang menyebabkan banjir berlaku di sesuatu tempat.





Bahagian C
(Masa dicadangkan : 20 minit)
(20 markah)

Tulis lima pengajaran yang dapat kamu peroleh daripada petikan di bawah.
Panjang jawapan kamu mestilah tidak lebih daripada 50 patah perkataan. Tulis jawapan kamu dalam satu perenggan.
       
        Hayati berasal daripada keluarga miskin. Ayahnya sudah lama meninggal dunia. Jadi, tinggallah dia dan ibunya meneruskan hidup. Ibunya bekerja sebagai penoreh getah. Walaupun mereka miskin namun ibunya tetap ingin melihat Hayati mendapat pendidikan.
        Sejak akhir-akhir ini, ibunya selalu sahaja sakit. Hayati sangat bimbang melihat keadaan ibunya yang sudah kurus melidi itu. Hayati memujuk ibunya supaya ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Pada mulanya, ibu Hayati tidak mahu ke hospital tetapi melihat keadaannya yang semakin teruk terpaksalah dia mengubah fikirannya. Setelah dirawat, ibu Hayati terpaksa tinggal di hospital selama beberapa hari untuk mendapatkan rawatan lanjut.
        Hayati selalu berdoa agar ibunya cepat sembuh. Setelah seminggu ibu Hayati tinggal di hospital, dia telah dibenarkan pulang.
        Dalam kegembiraan wajah Hayati, muncul satu lagi masalah iaitu tidak cukup wang untuk membiayai rawatan ibunya. Ibunya sangat runsing. Pada ketika inilah, Hayati teringatkan wang simpanannya lalu mengeluarkannya. Sejak tahun satu lagi Hayati telah mengamalkan sikap menabung. Duit belanja sekolah yang diberikan oleh ibunya tidak dibelanjakannya. Kesengsaraan dan keperitan hidup mereka telah menyedarkan dia agar tidak boros. Wang itulah yang digunakan oleh Hayati untuk membiayai rawatan ibunya. Kini, ibunya sudah sembuh dan sangat bangga dengan sikap Hayati.
        Sikap Hayati harus dicontohi. Kita hendaklah sentiasa bersedia untuk menghadapi sesuatu masalah yang mungkin menimpa, seperti kata peribahasa ‘sediakan payung sebelum hujan’.

No comments:

Post a Comment